My Add

Tuesday 25 October 2011

Rumah awam di Kedah tidak bayar sewa akan disita

SELASA, 25 Oktober, 2011: Penyewa atau pembeli perumahan awam di Kedah yang ada tunggakan ansuran sewa beli yang tinggi, akan berdepan tindakan tegas termasuk kediaman disita jika gagal jelaskan bayaran selepas menerima notis mulai minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, sehingga kini jumlah tunggakan keseluruhan mencecah RM20 juta membabitkan semua daerah, lapor Bernama.
"Kita akan mula menghantar notis kepada 5,000 penyewa yang dikenal pasti mempunyai tunggakan tinggi hingga lebih RM20,000 sejak lebih 20 tahun lalu.

"Kita nak maklum balas dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dan minta penyewa bermasalah tampil untuk berbincang tentang cara bagaimana hendak menyelesaikan tunggakan mereka,” katanya pada sidang media, di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, beban hutang yang tinggi itu menjejaskan proses penyelenggaraan di kawasan perumahan awam di bawah seliaan Bahagian Perumahan negeri.

Katanya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap penyewa atau pembeli yang melanggar syarat perjanjian seperti menyewakan kediaman mereka kepada pihak ketiga.

Beliau berkata, terdapat 78 skim rumah awam membabitkan 15,000 unit rumah sewa beli di negeri ini, yang mana kadar bayarannya antara RM50 dan RM100 sebulan, selain 5,400 unit rumah transit atau sewa dengan kadar sewaan antara RM90 dan RM124 sebulan.

No comments:

Post a Comment