My Add

Monday 31 October 2011

PRU-13: Jentera Barisan Nasional perlu bersiap sedia

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu bersiap sedia dengan perancangan dan pelaksanaan yang berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan dalam usaha memastikan BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi di samping merampas semula kerusi yang dikuasai oleh parti pembangkang.

Sambil mengimbas kembali prestasi BN dalam pilihan raya umum lalu, Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku berpunca daripada kelalaian dan kesilapan BN dan UMNO sendiri, lapor Utusan Maalaysia.

"Bagaimanapun ada hikmah di sebalik peristiwa itu supaya kita sentiasa bermuhasabah atas kesilapan yang dilakukan di samping menjadikan ia sebagai teladan untuk kita lebih berhati-hati pada sama akan datang, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutup Kolokium Gagasan 1Malaysia UMNO Bahagian Bagan Datoh, di Pulau Pangkor, semalam.

Ahmad Zahid berkata, semua pendokong parti dan jentera penggerak pilihan raya BN mesti sentiasa berazam untuk memperoleh kerusi melebihi dua pertiga bagi memudahkan parti menubuhkan kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

Katanya, selama memerintah BN terbukti boleh mentadbir lebih cekap, telus dan adil kepada semua kaum.

Ahmad Zahid juga mahu pelbagai program digerakkan secara berterusan sehingga pilihan raya diadakan.

Mengenai kawasan Bagan Datoh, beliau berkata, di samping mempertahankan kerusi Parlimen dan DUN Rungkup yang dimenangi, jentera BN juga perlu berusaha mengembalikan kerusi DUN Hutan Melintang kepada parti berkenaan.

"Kekalahan satu kerusi boleh merosakkan cita-cita BN menubuhkan semula kerajaan negeri dan kemenangan setiap kerusi adalah penting untuk membantu menubuhkan kerajaan mengikut amalan demokrasi," katanya.

No comments:

Post a Comment