My Add

Tuesday 25 October 2011

Kes MB Selangor dikembalikan ke Mahkamah Tinggi


SELASA, 25 Oktober, 2011: Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan kes pertikaian sivil antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim membuat keputusan itu selepas panel berkenaan menolak untuk menjawab isu-isu perlembagaan kepada mahkamah tertinggi itu untuk memutuskannya.

Khalid Ibrahim


Hakim Arifin berkata, panel itu berpandangan bahawa sebarang isu perlembagaan yang timbul dalam kes itu tidak akan diputuskan dengan cara merujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong.

Mahkamah Tinggi merujuk lima persoalan perundangan berhubungan permohonan Abdul Khalid.

Menurut Bernama, satu daripada persoalan itu adalah sama ada Seksyen 56 dan Seksyen 57 Akta Bank Negara Malaysia 2009 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia bercanggah dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Majlis Penasihat Syariah yang diberi kuasa untuk menentukan undang-undang Islam.

Seksyen 56 menyatakan jika di dalam mana-mana prosiding berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di hadapan mana-mana mahkamah dan penimbang tara, apa-apa persoalan berbangkit mengenai suatu perkara syariah, mahkamah atau penimbang tara itu, hendaklah mempertimbangkan mengikut mana-mana keputusan Majlis Penasihat Syariah atau merujuk persoalan itu kepada majlis untuk keputusannya.

No comments:

Post a Comment