NAJIB (tiga dari kanan) bergambar bersama Ratu Elizabeth II (duduk, dua dari kiri) dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard (duduk, dua dari kanan) serta ketua-ketua kerajaan negara Komanwel pada sesi bergambar majlis pembukaan rasmi CHOGM di Perth, Australia, semalam. Turut sama Setiausaha Agung Komanwel, Kamalesh M Sharma (duduk, kiri) dan Perdana Menteri Trinidad and Tobago, Kamla Persad Bissessar (duduk, kanan). - BERNAMA
SABTU, 29 Oktober, 2011: Cadangan agar Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia adalah baik tetapi ia memerlukan sokongan semua pihak sebelum perlaksanaannya boleh dibuat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat pelbagai pandangan terhadap usul penubuhan suruhanjaya yang dicadangkan oleh Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) itu.
"Ada beberapa negara yang mahukan cadangan itu dilaksanakan dan ada juga yang belum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari pertama CHOGM bermula di Perth, semalam .
Menurut laporan Utusan Malaysia, cadangan penubuhan suruhanjaya itu menjadi isu panas berikutan ada di kalangan negara-negara anggota membantah cadangan berkenaan.Cadangan tersebut disokong oleh Australia yang menjadi tuan rumah mesyuarat CHOGM yang dianggotai 54 buah negara itu manakala India dan Afrika Selatan dilaporkan membantah.
Pada masa sama, Sri Lanka yang juga menjadi kritikan beberapa negara anggota CHOGM berhubung jenayah perang mereka terhadap Kumpulan Harimau Tamil pada 2009, juga menentang usul tersebut, menjadikan mesyuarat kali ini seolah-olah terbahagi kepada dua kumpulan.
Usul mengenai penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia itu terkandung dalam cadangan EPG yang dikemukakan kepada para pemimpin CHOGM untuk diputuskan pada mesyuarat kali ini.
Mengulas lanjut, Najib berkata, sekiranya para pemimpin CHOGM tidak mendapat persetujuan bagi melaksanakan cadangan itu, ia akan dikembalikan kepada peringkat Menteri Luar CHOGM untuk dibincangkan semula.
Mesyuarat CHOGM yang diadakan dua tahun sekali telah dibuka dengan rasminya oleh Ratu Elizabeth di Pusat Konvensyen dan Pameran Perth (PCEC) di sini hari ini.
Ia dihadiri oleh ketua-ketua negara daripada 54 buah negara anggota dan CHOGM kali ini bertemakan 'Membina Kekuatan Nasional, Membina Kekuatan Global'.EPG yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengemukakan 106 cadangan kepada ketua-ketua negara CHOGM untuk dibincangkan dalam mesyuarat kali ini.
Mengenai perbincangan dua hala beliau dengan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, Perdana Menteri berkata, pemimpin negara Afrika itu telah menyatakan sokongan beliau terhadap hubungan yang telah terjalin sekian lama sejak era apartheid.
Sehubungan itu, beliau telah melahirkan harapan agar hubungan yang telah lama dijalin ini mendapat suntikan baru kerana tumpuan yang diberikan sejak kebelakangan ini tidak sebagaimana yang diharapkan.
Selain itu, katanya, beliau telah dijemput untuk menghadiri majlis ulang tahun ke-100 tahun Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pada 8 Januari 2012.
Mengenai pertemuan dua hala beliau dengan Perdana Menteri Pakistan, Syed Yousaf Raza Gilani, Najib berkata, rakan sejawatannya itu menganggap Malaysia sebagai sahabat lama dan mahu supaya hubungan yang terjalin diperluaskan lagi.
Beliau juga mempelawa Perdana Menteri ke Pakistan dalam usaha untuk meningkatkan perdagangan selain mempelawa Malaysia agar menyertai industri perbankan di negara itu.
No comments:
Post a Comment