My Add

Monday 31 October 2011

‘Hanya kumpul maklumat’

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Kesungguhan kerajaan Pas Kelantan melaksanakan hukum Hudud terus menjadi tanda tanya apabila Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengakui pelaksanaannya bukan diputuskan oleh jawatankuasa teknikal pelaksana Hudud yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Isnin lalu.

Kerajaan Pas Kelantan juga dilihat tidak serius dalam isu berkenaan apabila dimaklumkan jawatankuasa itu hanya berperanan untuk mengumpulkan maklumat, belum lagi bermesyuarat kerana surat pelantikan ahli-ahlinya masih belum diserahkan.

Ahmad bagaimanapun turut mengakui bahawa pelaksanaan hudud di negeri ini juga bergantung kepada maklum balas yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan kepada kerajaan negeri kelak, lapor Utusan Malaysia.

“Bukan-bukan (pelaksanaan bukan diputuskan oleh jawatankuasa). Dari segi kanun dah lengkap dah, tak timbul masalah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan Pas Kelantan bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika memaklumkan perkara itu berkata, jawatankuasa itu dianggotai 19 ahli di kalangan profesional termasuk beliau sendiri yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi 1, dan sekiranya perlu keahlian mungkin ditambah.

No comments:

Post a Comment