SELASA, 25 Okober, 2011: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak akan mendapatkan bantuan parti politik berhubung kempennya sekarang untuk membantah beberapa pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955, kata presidennya Mohamad Khalid Atan.
Sambil menegaskan bahawa kongres berkenaan sama sekali tidak terbabit dalam politik, Mohamad Khalid berkata, "Anggota gabungan dalam MTUC sangat berkeupayaan untuk mengendalikan kempen mereka sendiri demi manfaat semua anggota."
Beliau memberitahu Bernama hari ini, mogok yang dicadangkan di seluruh negara pada 3 November untuk membantah beberapa pindaan itu berada dalam lingkungan undang-undang memandangkan cadangan pindaan itu akan memberi kesan secara langsung kepada pekerja."
"Bantahan MTUC ini semata-mata hanyalah kempen yang sah untuk menjadikan penggubal undang-undang dan orang ramai menyedari akibat buruk terhadap pekerja sekiranya pindaan itu diterima pakai," katanya.
Mohamad Khalid berharap Ahli Parlimen dan Senator akan membahaskan pindaan itu dengan teliti sebelum membuat keputusan muktamad.
Rungutan utama MUTC ialah pindaan dalam bentuk sedia ada akan menyediakan ruang kepada majikan untuk menggaji pekerja menerusi ejen pihak ketiga.
"Menerusi sistem ini pekerja tidak akan mempunyai majikan tetap, sekaligus mudah terdedah kepada penganiayaan," katanya.
No comments:
Post a Comment