Oleh AMRAN MULUP
ISNIN, 31 Oktober, 2011: Isi kandungan dua buku, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah akan dinilai kebenarannya oleh lapan sarjana tempatan dan luar negara pada Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, esok.
Pengurus Projek Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Hazzlan Samah berkata, persidangan yang berlangsung selama dua hari itu akan turut mengupas isi kandungan dua karya agung Melayu tersebut dan kesesuaiannya dijadikan buku teks sejarah dan sastera.
“Para sarjana akan turut membentangkan lapan kertas kerja dan membincangkan relevannya dua karya agung itu serta kesesuaiannya digunakan pada hari ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, tiga sarjana dari luar negara yang akan menghadiri persidangan tersebut ialah Prof. Emeritus Dr. E. Ulrich Kratz dari London; Profesor Liang Liji dari Universiti Beijing, China; dan Profesor Dr. Heddy Shri Ahimsa Putra dari Universitas Gadjah Mada, Indonesia.
Lima sarjana tempatan pula katanya, ialah Dr. Muhammad Uthmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shaharuddin Maarof (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusof Hashim (KUIM), Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar (USM) dan Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abdul Hamid.
Menurutnya, seramai 300 peserta daripada pelbagai agensi akan menghadiri persidangan tersebut. Orang ramai dipelawa menghadiri persidangan bermula 9 pagi.
Persidangan tersebut anjuran Yayasan Karyawan Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri, IKSEP dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).
No comments:
Post a Comment