My Add

Saturday 29 October 2011

Agihan kerusi bergantung lokasi, situasi - Hishammuddin


Hishammuddin
SABTU, 29 Oktober, 2011: Pengagihan semula kerusi di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dibuat bergantung kepada lokasi dan situasi di kawasan tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pengagihan itu perlu mengambil kira pandangan daripada kepimpinan BN di peringkat negeri walaupun pada dasarnya semua parti komponen sudah menyatakan kesanggupan untuk menerima cadangan itu, lapor Utusan Malasia.

"Pengagihan semula kerusi banyak bergantung kepada lokasi dan situasi. Kita tidak boleh menyatakan satu formula yang boleh menyelesaikan pemilihan calon yang akan bertanding di seluruh negara kerana ada isu yang berbeza di sesetengah tempat.

"Perkara yang penting ialah kita perlu mencari formula untuk menang (dan) yang menjadi pertimbangan ialah rakyat.

"Semua itu banyak bersandar kepada kepimpinan tertinggi BN dan apa yang kita lihat dan dengar dan alu-alukan ialah kesanggupan semua pihak berbincang bagi memastikan kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bangunan UMNO Bahagian Alor Gajah dan melancarkan Bilik Gerakan Pilihan Raya BN Parlimen Alor Gajah di Selandar, semalam.

Tanpa mahu menyatakan tarikh perbincangan itu akan diadakan beliau menegaskan, sebarang perubahan kerusi akan menitikberatkan perkongsian kuasa selain keadilan menjadi asas semangat demokrasi yang terjalin dalam BN.

"Apa yang penting ialah semua pihak perlu melihat calon yang hendak diketengahkan mesti boleh diterima rakyat," katanya.

Terdahulu sewaktu berucap pada majlis itu, Hishammuddin meminta seluruh parti komponen BN berpegang kepada matlamat untuk menang dan memulakan gerakan mendekati rakyat.

No comments:

Post a Comment