My Add

Monday 31 October 2011

Selesai secara berhemah - TPM


MUHYIDDIN Yassinmenyampaikan amanat pada perasmian Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-22 di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan, semalam.

Oleh Hisyamuddin Ayub 

ISNIN, 31 Oktober, 2011: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan tegas kepada semua pucuk pimpinan parti-parti komponen supaya segera menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi secara berhemah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat sebarang percanggahan pendapat, ia tidak boleh dipendam atau diperbincangkan tanpa kehadiran pihak-pihak terlibat.

Tegasnya, perbuatan bercakap belakang dan tidak diselesaikan secara bermuafakat akan menyebabkan wujudnya pihak yang akan tersinggung dan berkecil hati hingga boleh menjejaskan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin hampir, lapor Utusan Malaysia.

"Jika ada isu atau permasalahan, setiap pihak boleh membuat teguran tetapi ia perlulah dibuat secara sopan santun dan tidak membangkitkan satu situasi yang mana ada pihak akan disakiti," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) Ke-22 di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui bahawa PRU13 yang akan datang merupakan satu cabaran yang agak luar biasa dan paling sengit dalam sejarah.

"Pihak pembangkang akan melakukan apa sahaja demi untuk memburukkan imej BN di mata masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua pemimpin BN dan parti komponen perlu bersatu padu serta mengukuhkan ikatan sedia ada, sekali gus memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap kepimpinan BN.

Tambah beliau, setiap parti perlu memberi tumpuan terhadap gerak kerja masing-masing dan melipat ganda usaha bagi meraih sokongan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan taklimat LDP berhubung persiapan parti komponen itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Parti Liberal Demokratik (LDP) akan terus menyokong perjuangan Barisan Nasional (BN) terutama dalam prinsip perkongsian kuasa dan kesamarataan, kata Presiden parti itu, Datuk Liew Vui Keong.

Katanya, prinsip yang menjadi tunggak dan asas penting bagi BN itu mesti dikekalkan dan dihormati demi kesinambungan pucuk pimpinan BN.

"Walau apa pun yang telah berlaku dalam perkembangan politik yang menyebabkan konflik dan kegusaran antara beberapa personaliti, ia tidak patut diungkit bagi memprejudiskan prinsip BN secara keseluruhannya.

"Prinsip penting yang telah lama wujud bagi mempertahankan kepentingan negara itu haruslah sentiasa dijadikan sebagai tiang kekuatan dan asas penting bagi kestabilan politik dalam BN dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres LDP ke-22 di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vui Keong, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, LDP akan sentiasa bersama sebagai satu keluarga yang besar dalam BN bagi meneruskan perjuangan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.


No comments:

Post a Comment