My Add

Wednesday, 26 October 2011

Lawatan ke Singapura bermanfaat: Muhyiddin

RABU, 26 Oktober, 2011: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan lawatannya ke Singapura cukup bermanfaat bagi Malaysia.

"Pada keseluruhannya, lawatan ini adalah cukup bermanfaat untuk Malaysia, kita percaya ini akan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya kepada pemberita Malaysia selepas melawat Institute of Technical Education dan loji pelupusan sisa pepejal Tuas South Incineration Plant di republik ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke republik itu dengan menghadiri majlis makan malam rakan sejawatanya, Teo Chee Hean, lapor Bernama.

Muhyiddin Yasin
Di awal lawatan, beliau menghadiri jamuan makan malam dan dialog bersama rakyat Malaysia di Singapura. 

Pagi semalam, Muhyiddin mendengar taklimat tiga agensi termasuk Lembaga Pelancongan Singapura, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura mengenai pelupusan sisa pepejal dan Kementerian Pelajaran tentang sistem pelajaran vokasional. 

Beliau juga melakukan kunjungan hormat terhadapTimbalan Perdana Menteri Singapura dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. 

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan Singapura, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama di bidang vokasional, latihan guru, pertukaran pelajar dan program pengantarabangsaan. 

Dalam lawatan beliau ke loji pembakaran di Tuas, Muhyiddin meninjau pelaksanaan program pelupusan sisa pepejal.

Timbalan Perdana Menteri berkata cara pelupusan yang berkesan boleh menjana pendapatan. 

"Jadi, ini perkara yang saya fikir perlu kita pelajari kerana dalam tempoh beberapa tahun akan datang ini, kita perlu melihat kemungkinan membina tempat loji pembakaran yang lebih banyak untuk menampung keperluan yang meningkat pada waktu ini," katanya. 

Muhyiddin berlepas pulang ke Malaysia lewat malam tadi dan dihantar oleh Menteri Kanan Negara Singapura, Masagos Zulkifli. 

No comments:

Post a Comment