My Add

Thursday, 27 October 2011

'Datuk' Singapura ditahan kerana menipu hampir RM1 juta

KHAMIS, 27 )ktober, 2011: Seorang warganegara Singapura dikenali sebagai "Datuk Mohd Shah" ditahan Jumaat lalu kerana dipercayai menipu seorang ahli perniagaan warga tempatan membabitkan kerugian berjumlah RM946,560. 

Bernama melaporkan, lelaki itu ditahan di rumahnya di Jalan Setia Tropika di Johor Bahru, bersama-sama isterinya yang juga warganegara Malaysia berikutan empat laporan polis yang dibuat ahli perniagaan berusia 42 tahun itu pada 14 Oktober lalu.

"Siasatan awal kita mendapati lelaki warga Singapura ini tiada gelaran Datuk," kata Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Supt Mohd Luthfi Ismail Abdullah kepada pemberita di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, suspek berusia 58 tahun itu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau didakwa menawarkan kepada pengadu bantuan mendapatkan lesen senjata api, kontrak membina longkang, nombor pendaftaran kereta WWW 1 bersama kelulusan cermin gelap dan kelulusan pinjaman RM5 juta. 

"Pengadu mendakwa sudah membayar RM946,560 kepada suspek untuk khidmat menguruskan tawaran-tawaran tersebut," katanya. 

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda. 

Percaya ramai lagi yang menjadi mangsa lelaki itu, Mohd Luthfi meminta mereka tampil untuk membantu siasatan. 

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah diperdaya dengan cara penipuan yang dilakukan ini sebaliknya menggunakan prosedur atau saluran yang betul melalui agensi yang ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan sesuatu perkara. 

Katanya, sekiranya ada keraguan, laporkan terus kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Johor di talian 07-2254656 atau mana-mana balai polis. 

No comments:

Post a Comment