My Add

Thursday 27 October 2011

Tiket: Polis tolak andaian Wisma FAM dilempar cat merah

Tun Hisan Tun Hamzah
KHAMIS, 27 Oktober, 2011: Polis menolak andaian kejadian melempar cat merah di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya dekat sini berpunca daripada isu kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, bagaimanapun berkata polis akan menyiasat sama ada wujud unsur khianat atau hutang kerana insiden sedemikian boleh berlaku atas pelbagai sebab.

"Andaian bahawa ia adalah sebab harga tiket itu spekulasi orang, tetapi sebab sebenarnya kita akan siasat," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Koperal 'Time Base' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Menurut laporan Bernama, dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, lima bungkus plastik mengandungi cat merah dilempar empat lelaki bermotosikal dari luar kawasan wisma itu sehingga mengotori lantai pintu depan serta memercik dan bertompok pada dinding tingkat satu serta bumbung. 

Sebahagian cat turut mengenai kereta seorang pengawal keselamatan bertugas yang diletakkan berdekatan pagar wisma berkenaan. Bagaimanapun, sebuah bas milik FAM tidak diapa-apakan. 

Sebelum ini, FAM memutuskan untuk menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan, Sabtu ini daripada RM30 kepada RM50. 

Tindakan itu menimbulkan kemarahan peminat bola sepak yang merasakan kenaikan itu satu beban. 
Sementara itu, Tun Hisan berkata seramai 1,113 anggota polis sudah dinaikkan pangkat daripada Lans Koperal kepada Koperal secara berperingkat. 

Beliau berkata, kenaikan pangkat itu diberikan kepada anggota polis yang sudah berkhidmat lebih lima tahun dan menunjukkan prestasi cemerlang. 

Bagaimanapun, beliau berkata seramai 19 anggota yang berhadapan dengan tindakan disiplin masih belum dinaikkan pangkat sementara menunggu keputusan siasatan. 

No comments:

Post a Comment