SABTU, 29 Oktober, 2011: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menjenamakan semula Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan fungsi organisasi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh petani.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, melalui penjenamaan semula yang akan dibuat tahun depan, FAMA bukan saja memasarkan hasil petani tetapi juga membantu meningkatkan pendapatan mereka, lapor Bernama.
"Kita nak pastikan supaya FAMA benar-benar dapat memainkan peranan sebagai ejen pemasaran. Maksudnya dia menjadi jambatan penghubung di antara petani dan pengusaha serta pengguna.
"Sebagai penghubung, FAMA akan membeli barang terus daripada petani atau ladang tanpa melalui pemborong atau orang tengah dan terus menjualnya kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sepakat Komuniti 1Malaysia Daerah Semporna dan Hari Petani, Penternak dan Nelayan 2011, di sSempona, malam tadi.
Noh berkata, melalui pembelian terus itu, harga barangan pertanian akan lebih murah sekali gus turut membantu pengguna.
Selaras dengan penjenamaan semula itu, kementerian akan meningkatkan lagi peranan kedai rakyat dan pusat pengumpulan hasil pertanian bagi memastikan petani mudah memasarkan hasil pertanian atau keluaran mereka, katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment