My Add

Friday, 28 October 2011

Terlalu ramai pekerja asing boleh jejas mutu perkhidmatan

JUMAAT,28 Oktober, 2011: Kebanjiran pekerja asing dalam industri perkhidmatan termasuk restoran dibimbangi akan menjejaskan mutu sektor itu di negara ini.

Utusan Malasia melaporkan, Menteri Wilayah Persekutuan Bandar dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pada masa ini, beliau melihat sektor tersebut menggunakan terlalu ramai tenaga kerja asing.

"Mereka ini tidak faham apa yang dipesan oleh pengguna. Bila tanya, semua ada. Pesan benda lain, yang datang benda lain. Perkara ini tidak akan terjadi jikalau ia diuruskan oleh pekerja tempatan," katanya sambil menambah situasi itu sering dapat disaksikan di restoran mamak sekitar ibu kota.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Luncheon Talk Pembangunan Sumber Manusia bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan, negeri serta ketua-ketua eksekutif (CEO) syarikat multinasional dan syarikat milik kerajaan di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam hal ini, Raja Nong Chik menggesa majikan terutama yang berkaitan dengan industri perkhidmatan seperti restoran mengutamakan tenaga kerja tempatan berbanding pekerja asing.

Menurutnya, peluang pekerjaan dalam sektor itu dilihat lebih sesuai jika diberikan kepada pekerja tempatan yang lebih berkemampuan berkomunikasi dengan lebih baik.

"Pekerja tempatan sudah tentu memahami budaya masyarakat di negara ini dan mereka juga lebih mudah berinteraksi dengan pelanggan, yang merupakan asas dalam industri servis," katanya.

Mengulas program yang dihadirinya hari ini, beliau berkata, ia adalah titik permulaan ke arah mewujudkan kerjasama pintar antara agensi kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan swasta.

Melalui pertemuan seperti itu, pelbagai isu dapat dibincangkan terutamanya berkaitan perkembangan industri, keperluan tenaga kerja, peningkatan teknologi dan kecekapan dalam pekerjaan sedia ada dan akan datang yang diperlukan dalam industri.

Program itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia, Dr. Pang Chau Leong dan Pengarah Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Ahmad Mudi Onn Nor.

Hadir sama, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kanan syarikat yang mewakili enam bidang industri utama di Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment