MUHYIDDIN dan Zambry Abd. Kadir (kanan) bermesra para penerima bantuan pada perjumpaan khas TPM dengan guru-guru seluruh Perak di UTP, Seri Iskandar, Parit.
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan ANI AWANG
JUMAAT, 28 Oktobr, 2011: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ilmuan Islam supaya berfikiran global dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dalam usaha mewujudkan negara yang seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi sekali gus menjadikan Malaysia contoh kepada dunia Islam.
Utusan Malaysia memetik Timbalan Perdana Menteri sebagai berkata, selain penekanan aspek membangunkan modal insan, pembangunan iktisad yang menyentuh aspek kemakmuran ekonomi juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam kancah kemunduran.
Beliau menarik perhatian senario di negara Islam lain yang sudah mula membangun tetapi, terus dihimpit pelbagai krisis serta peperangan sehingga menyebabkan kekayaan khazanah ekonominya tidak dapat dibangunkan demi kepentingan rakyat.
‘‘Dalam perjumpaan begini, saya biasa ditanya kenapa kerajaan terlalu ghairah bercakap soal pembangunan ekonomi tetapi tidak memberi perhatian dalam soal pembangunan sosial, budaya dan agama. Saya kata (pandangan) ini tidak tepat.
‘‘Dalam soal kita membangunkan ummah atau menjadi sebuah negara Islam contoh, selain membangunkan modal insan, pembangunan iktisad juga penting supaya kita dapat membina sebuah negara yang seimbang pembangunannya,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negeri Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Parit, semalam.
Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.Sempena majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan sumbangan kepada 24 SABK, 32 SAR dan tiga SMKA sekitar negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM15.8 juta.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak wajar mengambil iktibar daripada krisis yang dihadapi negara-negara Islam lain termasuk peperangan selama bertahun-tahun sehingga mengakibatkan kemunduran serta kesengsaraan rakyatnya.
‘‘Sebab itu dalam soal pembangunan, kita perlu mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi dan beban ini bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan tetapi juga oleh masyarakat,” jelasnya.
Muhyiddin turut menekankan cabaran besar yang bakal dihadapi dalam tempoh 10 tahun ketika kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.
Sambil menyifatkan ia sebagai tempoh kritikal, beliau berkata, semua pihak memikul tanggungjawab dalam melahirkan warga masa hadapan yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang tetapi juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia.
No comments:
Post a Comment