My Add

Friday 28 October 2011

BEPU, Perdasama bina Maahad di Kemboja

JUMAAT, 28 Oktober, 2011: Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO (BEPU) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) melancarkan Tabung Dana Pembinaan Maahad Tahfiz Antarabangsa Malaysia-Kemboja.

Pengerusi BEPU, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya berharap dapat menarik pelbagai pihak terutamanya sektor korporat untuk menyumbang kepada pembinaan maahad itu dengan sasaran mengumpul sebanyak RM500,000 dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, maahad tersebut akan didirikan di atas tanah seluas 0.8 hektar di Kampung Cham, Kemboja, lapor Utusan Malasia.
''Kita harap ia dapat disiapkan pada penghujung tahun hadapan dalam usaha membantu masyarakat Islam Kemboja mendapatkan pendidikan dan keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Hadir sama, Naib Presiden 3 Perdasama, Datuk Shawaludin Mohd. Din dan Setiausaha Perdasama Muda, Ahmad Zaffry Sulaiman.

Sohaimi berkata, selain sumbangan wang tunai, pihaknya juga mengalukan-alukan sebarang sumbangan lain bagi membantu masyarakat Islam di negara itu.

Menurutnya, maahad tahfiz itu bukan sahaja memberi tertumpu terhadap pengajian al-Quran, sebaliknya, turut menekankan pengajian dalam bidang lain seperti Sains, Komputer dan bahasa Melayu.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 1,000 pelajar seawal usia 10 tahun termasuk pelajar antarabangsa dari Laos dan Vietnam akan mengikuti pembelajaran di maahad tersebut.

Katanya, sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank di nombor akaun 162740137269 atau menghubungi pejabat Perdasama di talian 03-20952002 atau sekretariat BEPU di talian 019-3229507.

No comments:

Post a Comment