My Add

Saturday, 29 October 2011

Jangan cuba politikkan isu air


Oleh Faizatul Farhana Farush Khan

SABTU, 29 Oktober, 211: Kerajaan diminta melaksanakan empat pendekatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya mereka lebih menghargai sumber air negara.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr. Ir Zaini Ujang, berkata ini termasuk mengkaji semula kadar tarif air, tidak mempolitikkan isu air, berfikiran holistik dan mengubah bentuk pengurusan air ketika ini, lapor Berita Harian.

Zaini Ujang

Bagi soal bayaran misalnya, mana-mana isi rumah atau industri perlu dikenakan tarif lebih tinggi jika mereka menggunakan air melebihi kadar tertentu.

Misalnya, jika isi rumah menggunakan 35 meter padu air atau ke bawah, mereka harus dikenakan tarif normal namun andai ia melebihi, maka setiap lebihan itu perlu dikenakan tarif lebih tinggi. 

Selain itu, isu air juga tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia akan menyebabkan pengguna menjadi mangsa, pengurusan air tidak seimbang dan pembekalan sumber itu pula tidak lestari, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Forum Air Tiada Nilai 2011 di kampus Universiti Teknologi Mara, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. 

Forum kali pertama anjuran UTM dan Persatuan Air Malaysia (MWA) itu bertujuan membincangkan masalah pengurusan air dan situasi semasa berkaitan sumber berkenaan. 

Lebih 200 peserta menghadirinya termasuk pakar industri air seluruh negara dan wakil mahasiswa UTM. 

Dr Zaini yang juga ahli majlis MWA berkata, isu air perlu dilihat secara holistik iaitu menyeluruh, bukannya hanya sebagai sumber penggunaan harian. 

Apalah guna jika negara mempunyai bekalan air mencukupi tetapi tidak dimanfaatkan secara efisyen dalam semua keperluan dan kepentingan. 

Selain itu, masyarakat perlu dididik supaya mengubah persepsi yang melihat air sebagai supply management kepada demand management agar mereka lebih bijak berjimat. 

Dalam isu ini, semua pihak perlu bersama-sama memainkan peranan untuk menghargai air bagi memastikan bekalannya sentiasa mencukupi pada masa depan, katanya.

No comments:

Post a Comment