Oleh KAMIL MASLIH
SABTU, 29 Oktober, 2011: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela nasib masyarakat India demi memastikan tiada kaum di negara ini yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk itu, tumpuan dalam segenap segi keperluan masyarakat India diberikan termasuk bidang pendidikan, ekonomi serta menaik taraf kehidupan masyarakat tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat India untuk terus bersama-sama BN atas semangat muafakat dan memelihara perpaduan serta keharmonian yang dinikmati selama ini.
"Kita tidak akan mengecewakan masyarakat India dan saya percaya anda semua akan bersama menyokong BN.
"Walaupun kita ada beberapa kekurangan dan tidak mampu memenuhi semua kehendak, namun kita ada iltizam untuk memajukan lagi masyarakat India dan saya yakin sokongan anda semua semakin hari semakin meningkat," katanya.
Beliau berucap merasmikan Sambutan Deepavali peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Bola Keranjang Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar, semalam, lapor Utusan Malasia.
Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Pengerusi MIC Johor, Datuk K. S. Balakrishan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP), R. Ratnam dan Ketua Cawangan MIC Pagoh P. Subramaniam.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang masyarakat India itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan kepada 250 orang miskin dan kurang upaya (OKU) kaum berkenaan di samping 50 orang Melayu dan Cina.
Jelas Muhyiddin, kerajaan BN menitikberatkan keperluan masyarakat India sehingga Jawatankuasa Kabinet bagi hal ehwal masyarakat India telah ditubuhkan.
"Kita perlu bersama-sama bekerja kuat, saling membantu supaya jangan ada kalangan kita yang ketinggalan, yang tidak dapat menikmati kemajuan, berhadapan kesusahan dan kemiskinan.
"Kita mahu keluar daripada kegelapan ke arah yang lebih cerah, lebih baik pada masa akan datang seperti sambutan Deepavali yang bermaksud keluar daripada kegelapan dan masuk ke cahaya," katanya.
Muhyiddin juga mengingatkan masyarakat India agar tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang kerana dengan segala masalah dalaman yang berlaku, pakatan itu tidak menjamin perpaduan sebagaimana semangat kerjasama komponen BN.
No comments:
Post a Comment