My Add

Saturday 29 October 2011

Suruhanjaya boleh bantu beri amaran kepada CMAG: Abdullah


BEKAS Perdana Menteri yang juga Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG), Tun Abdullah Ahmad Badawi (tengah) pada sidang akhbar mengenai EPG sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 di Perth, hari ini. Turut sama ahli-ahli EPG, Malcolm Rifkind (kiri) dan Michael Kirby (kanan). - Foto BERNAMA




SABTU, 29 Oktober, 2011: Cadangan suruhanjaya hak asasi manusia, sekiranya diterima pakai oleh Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM), boleh memberi amaran kepada Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) mengenai situasi pencabulan hak asasi manusia, kata Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG), Tun Abdullah Ahmad Badawi. 


Bernama memetik beliau sebagai berkata, suruhanjaya itu sebenarnya boleh membantu CMAG dan Setiausaha Agung Komanwel untuk menjadikan mereka lebih peka dengan kes pencabulan hak asasi manusia di negara Komanwel.

"Bagaimanapun, hanya CMAG mempunyai kuasa untuk bertindak (ke atas isu berkenaan) dan bukannya Pesuruhjaya," katanya kepada wartawan Malaysia di Perth, hari ini.

Terdahulu, Abdullah dan anggota EPG mengadakan taklimat media berkaitan dengan cadangan itu yang juga bahagian teras dalam laporannya yang mengandungi 106 cadangan yang dibentangkan kepada ketua kerajaan pada mesyuarat CHOGM selama tiga hari berakhir esok. 

Semalam, Abdullah berkata hanya dua isu utama iaitu penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Piagam Komanwel dibincangkan pemimpin. 

Pemimpin negara anggota dijangka membincangkan lebih lanjut mengenai laporan itu pada sesi permukiman mereka. 

Laporan media memberi tumpuan kepada cadangan penubuhan suruhanjaya itu, menyatakan beberapa negara termasuk India, Sri Lanka dan beberapa negara Afrika membantah cadangan itu, atas alasan ia akan bertindih dengan peranan pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan CMAG, dan akan membabitkan kos tinggi. 

Bagaimanapun, pada taklimat media itu, EPG menyatakan suruhanjaya itu akan hanya mempunyai jumlah staf yang kecil dan menegaskan mengenai perlunya untuk mempunyai suruhanjaya yang akan memantau situasi hak asasi manusia di negara Komanwel. 

Abdullah berharap pemimpin akan menerima laporan itu yang sudah dikumpul dan dibukukan bertajuk "A Commonwealth of the People–Time for Urgent Reform". 

Beliau menyifatkan buku itu sebagai "Suara Komanwel". 

“Ia adalah dokumen penting kerana suara Komanwel dicerminkan dalam buku itu," katanya. 

Cadangan dalam laporan itu diperoleh daripada 330 hujah yang menekankan bahawa Komanwel berdepan risiko untuk menjadi tidak relevan dan tidak menyakinkan sebagai sebuah pertubuhan berasaskan nilai. 

Laporan itu juga menyentuh mengenai prejudis dalam mendapatkan rawatan HIV. 

Ia mengandungi cadangan bagi pemansuhan undang-undang yang menghalang seseorang daripada mendapatkan rawatan untuk HIV. 

Menurut EPG pada taklimat itu hari ini, terdapat banyak kes HIV di negara Komanwel. 

Abdullah juga berkata, laporan itu bukannya termaktub ke atas negara berkenaan, tetapi akan hanya memberikan cadangan kepada Komanwel untuk dikaji dan ditukarkan menjadi program. 

"Mereka yang buat keputusan, kami tidak buat keputusan," katanya. 

No comments:

Post a Comment