My Add

Tuesday, 25 October 2011

SPR pamer 42,051 nama pemilih, rekod diragui mulai Khamis

SELASA, 25 Oktober, 2011: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih yang rekodnya tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya selama seminggu bermula Khamis ini.

Menurut kenyataan SPR hari ini, nama pemilih berkenaan akan dipamerkan bersama daftar pemilih tambahan suku ketiga tahun ini di 987 tempat pameran seluruh negara, lapor Bernama.

"Senarai nama pemilih yang rekodnya meragukan bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan sebaliknya untuk pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamerkan.

"Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenal pasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan pendaftaran pemilihnya," menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh sama, SPR akan turut mempamerkan senarai 264,404 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 52,215 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga 2011 bermula Julai hingga September lalu.

Menurut SPR, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2011 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dengan menyerahkan borang tersebut kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dipamerkan.

Bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam daftar pemilih yang dipamerkan boleh dilakukan dengan menggunakan Borang C.

SPR menasihatkan mereka yang ingin membuat bantahan memastikan bantahan adalah berdasarkan kepada alasan kukuh dan tidak dibuat secara melulu.

Selain daripada mempamerkan nama pemilih baru dan pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

"Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati sudah meninggal dunia, lucut hak warganegara, bersara daripada angkatan tentera dan polis yang bermakna mereka hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya," menurut kenyataan itu.

Bagi tempoh Julai hingga 15 September lalu, SPR mengeluarkan 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar selepas disahkan meninggal dunia. 

Dalam tempoh berkenaan, SPR memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan sudah dilucutkan kewarganegaraan oleh JPN.

No comments:

Post a Comment