My Add

Saturday, 29 October 2011

Tiga wanita ternama warnai perasmian CHOGM

SABTU, 29 Oktober, 2011: Majlis perasmian Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 di Perth yang berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang melakar keunikan apabila ia turut melibatkan peranan penting tiga tokoh wanita ternama.

Mereka ialah peneraju utama Komanwel Ratu Elizabeth II, Perdana Menteri Australia Julia Gillard dan Perdana Menteri Trinidad and Tobago Kamla Persad Bissessar.

NAJIB dan ketua-ketua kerjaan Komanwel di majlis makan
 malam CHOGM bersaama Ratu Elizabeth.
Menurut Bernama, pada majlis penuh bersejarah itu, Bissessar berkata, beliau menyerahkan jawatan pengerusi Komanwel kepada Gillard, dengan disaksikan Ratu Elizabeth.

"Ketiga-tiga kami adalah wanita," kata Bissessar dalam ucapan penyerahan jawatan itu. Trinidad and Tobago menjadi tuan rumah CHOGM pada 2009.

Kesemua 53 ketua kerajaan Komanwel, termasuk Ratu Elizabeth, duduk di atas pentas semasa upacara perasmian itu, yang disempurnakan Ratu Elizabeth.

Setiausaha Agung Komanwel Kamalesh Sharma sendiri mengakui keunikan majlis hari ini.

"Kami menetapkan tema bagi 2011 ialah "Wanita Sebagai Ejen Perubahan" dan dengan penyerahan tugas pengerusi oleh Perdana Menteri Persad-Bissessar kepada Perdana Menteri Gillard, kami mencapai maksud itu dengan cukup membanggakan," kata beliau.

Walaupun kebanyakan ketua kerajaan yang menghadiri CHOGM di bandar raya penuh ketenangan ini terdiri daripada lelaki, tetapi para pemimpin wanita yang menyertainya pasti tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan pendapat mereka serta menjadi ejen perubahan.

Daripada 53 ketua kerajaan yang menghadirinya, lima adalah wanita, termasuk Gillard dan Bissessar. Bangladesh diwakili perdana menterinya Sheikh Hasina, Dominica oleh pemangku pesuruhjaya tinggi Janet Charles dan St Lucia pula oleh Dr June Soomer, sebagai ketua delegasi.

Persembahan selama sejam itu menggabungkan unsur-unsur "moden dan tradisi". Persembahan kebudayaan, tarian moden dan nyanyian oleh artis yang sebahagian besarnya terdiri daripada belia Australia, bergema di dewan berkenaan.

Dalam ucapannya, Gillard berkata, berbeza dengan pertubuhan antarabangsa lain yang digerakkan oleh sikap prihatin terhadap perkara berkaitan perdagangan atau perniagaan, Komanwel didasari oleh daya penggerak yang amat berlainan.

"Kita merupakan sebuah "gabungan yang mementingkan nilai". Nilai yang dikongsi bersama berkaitan keamanan, demokrasi, kesaksamaan kaum, kedaulatan undang-undang dan komitmen terhadap kemajuan sosial dan ekonomi.

"Komanwel juga merangkumi nilai bersama, yang diamalkan secara sukarela dan sepakat. Nilai yang boleh kita manfaatkan untuk menangani sesetengah isu mendesak yang mendepani dunia seperti perubahan iklim, kedudukan kewangan yang tidak stabil dan jaminan makanan. 

"Kewujudan Komanwel amat penting dalam menangani perubahan itu," katanya.

Dalam titah baginda pula, Ratu Elizabeth menyifatkan Komanwel sebagai "jaringan sesawang sedunia yang asal."

Sepanjang tempoh CHOGM selama tiga hari itu, Perth akan menjadi tuan rumah kepada lebih 4,000 pelawat, termasuk pemimpin dari 53 negara yang mewakili lebih seperempat jumlah negara di dunia, yang didiami dua bilion penduduk.

Ia turut disertai menteri luar, ahli perniagaan dan pemimpin belia serta masyarakat.

Lebih kurang 1,200 media antarabangsa dan domestik berada di bandar raya ini untuk membuat liputan tentang mesyuarat berkenaan, yang disifatkan antara kontinjen media paling besar membuat liputan dalam sejarah CHOGM.

CHOGM memberi peluang kepada para pemimpin Komanwel untuk mengadakan pertemuan setiap dua tahun bagi membincangkan isu dunia dalam usaha membina masa depan yang lebih gemilang dan selamat untuk semua. 

No comments:

Post a Comment