My Add

Thursday, 1 December 2011

RM72 juta bagi pembangunan industri herba

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Disember, 2011: 
KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM72 juta bagi pembangunan industri herba untuk pasaran antarabangsa, kata Timbalan Menterinya, Datuk Mohamed Johari Baharom.

Beliau berkata, kementerian itu telah mengenal pasti beberapa jenis herba seperti kacip fatimah, misai kucing dan tongkat ali yang berpotensi untuk dipasarkan di luar negara.

Johari menjelaskan, kementerian tersebut sentiasa menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk terlibat dalam aktiviti hiliran pembangunan produk berasaskan herba serta aktiviti huluan penanaman herba.

"Kementerian memberikan insentif pengecualian cukai untuk tempoh 10 tahun bagi PKS yang melabur dalam industri herba sepanjang rantaian nilai dari peladangan sehingga pengilangan produk berasaskan herba,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Johari berkata, kementerian berkenaan turut membuka peluang kepada PKS berasaskan herba yang berdaya saing untuk menyertai misi dan pameran perdagangan di luar negara seperti China, Hong Kong dan beberapa negara lain.

"Kementerian melalui Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pertanian telah merangka strategi untuk meningkatkan pendaftaran di bawah akreditasi Kementerian Kesihatan Malaysia bagi produk herba yang berpotensi daripada segmen ubatan tradisional ke segmen nutraseutikal serta ubatan botanikal,” tambah beliau. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment