My Add

Thursday 1 December 2011

Usahawan muda perlu jadi pencetus trend perniagaan

KUALA LUMPUR, khamis, 01 Disember, 2011: USAHAWAN muda Melayu perlu menjadi pencetus trend dalam bidang perniagaan selain peka dengan perubahan persekitaran agar dapat menerajui pasaran, kata Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU) Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.

Beliau berkata, kelemahan orang Melayu ialah suka mengikut orang lain membuat perniagaan yang sama terutama bila melihat potensi perniagaan tersebut.

"Orang muda tidak boleh ikut perniagaan yang sedia ada, jangan ikut perniagaan konvensional. Kena jadi trendsetter (pencetus trend)agar dapat menerokai pasaran baru dan mengurangkan persaingan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Laman Media pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini semalam.

Usahawan Melayu juga kurang peka dan lambat merebut peluang yang ditawarkan oleh kerajaan seperti insentif yang ditawarkan melalui agensi-agensi kerajaan, katanya.

Sohaimi, yang juga Pengerusi Kraftangan Malaysia berkata, Program Jelajah Francais 1Malaysia di bawah BePU umpamanya telah berjaya membantu usahawan-usahawan muda mengenal pasti peluang perniagaan francais yang boleh diceburi.

Sohaimi berkata BePU mensasarkan 6,000 usahawan francais sepanjang program jelajah tersebut yang dijalankan secara kerjasama dengan Perdasama Muda, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment