KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011: Tokoh penyair, penulis dan pemikir sastera negara, Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali dengan nama pena Baha Zain menerima Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).
Anugerah yang julung kali diperkenalkan itu bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan Baharuddin semasa menerajui Pena sehingga menjadi sebuah persatuan penulis yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di negara ini.
Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis sambutan jubli emas Pena yang diadakan serentak dengan Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga di sini, hari ini.
Selain watikah penghargaan dan hadiah iringan, Baharuddin turut menerima sepersalinan baju Melayu dan wang tunai berjumlah RM5,000.
Pada majlis sama, Najib turut melancarkan tiga buku baru terbitan Pena yang berjudul Takah Lima Puluh: Antologi Puisi Sempena 50 Tahun Pena; Antologi Karya Sasterawan 2011 dan Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran.
Baharuddin mula melibatkan diri dengan Pena sejak awal tahun 60-an dan memegang pelbagai jawatan termasuk menjadi Presiden Pena pada 2008 hingga 2010.
Anak kelahiran Teluk Intan, Perak yang berusia 72 tahun itu berkarya sejak di sekolah menengah dan mula dikenali menerusi karyanya yang berjudul Perempuan dan Bayang-Bayang yang dihasilkan pada 1974.
Antara kejayaan peribadi beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 1980 selain Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) pada 2004 dan Anugerah Budaya Gapena pada 2008. - UM
No comments:
Post a Comment