TASEK GELUGOR, SABTU, 17 Disember, 2011: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) memperuntukkan sebanyak RM500,000 tahun ini bagi membantu meningkatkan hasil pertanian 74 petani di kawasan Parlimen Tasek Gelugor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata peruntukan itu merangkumi aspek menaik taraf infrastruktur pertanian dan industri asas tani, penternakan serta memberi perkhidmatan bantuan pemasaran.
"Kita akan mengenal pasti bentuk bantuan yang bersesuaian dengan keperluan pemohon. Antara bantuan yang kita salurkan setakat ini merangkumi pemberian baka ternakan, jentera dan barangan elektrik.
"Buat masa ini seramai 47 pemohon sudah menerima bantuan mereka manakala selebihnya akan menerima bantuan ini dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPPP Parlimen Tasek Gelugor di Pejabat Peladang Kawasan (PPK), Pokok Sena di sini, semalam.
Selain itu, Nor Mohamed, yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meninjau status kemajuan dan prestasi penerima bantuan dari semasa ke semasa. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment