My Add

Friday 2 December 2011

Contohi Idris Jusoh tawar diri tidak tandingi PRU-13

KUALA LUMPUR, KHAMIS,  O1 Disember, 2011. — TIGA naib presiden UMNO meminta wakil rakyat parti itu mencontohi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang menawarkan diri untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), bagi memberi laluan kepada calon boleh menang.

"Kami terima SMS daripada Datuk Seri Idris Jusoh yang menyatakan bahawa beliau bersedia untuk tidak menawarkan diri dalam PRU ke-13 nanti dan ini satu contoh yang baik,” kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media bersama rakan sejawatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jika tindakan itu dicontohi wakil rakyat lain, maka mudahlah untuk Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan dan mengelak lebih ramai yang berkecil hati.

Hishammuddin pula berkata wakil rakyat sedia ada perlu melihat sejarah pemimpin tertinggi UMNO seperti Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sanggup berundur ketika di puncak bagi memastikan kelangsungan parti.

"Jadi ini bukanlah satu perkara yang unik kerana tunjuk ajarnya telah pun ada dan ia boleh dilihat kepada sejarah orang-orang UMNO yang sayangkan dan cintakan parti iaitu di peringkat kepimpinan yang tertinggi,” katanya.

Shafie pula berkata, dalam keadaan landskap politik masa kini, keadaan telah jauh berubah dan memerlukan ahli UMNO melakukan pengorbanan berbeza demi kelangsungan perjuangan parti.

"Maknanya bila sampai masanya, cinta kita dan sayang kita pada parti berterusan, perkhidmatan kita juga berterusan sama ada di depan atau pun sebagai penyokong...yang penting kuasa kita kekal bawah Barisan Nasional,” katanya.

Idris, 56, adalah bekas Ahli Parlimen Besut yang dimenanginya pada PRU 1995, dan pada PRU 1999 beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kg. Raja namun tewas.

Pada PRU 2004 beliau bertanding di kerusi DUN Jerteh dan menang serta dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke-12. Beliau mengekalkan kerusi itu pada PRU 2008. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment