My Add

Saturday, 17 December 2011

Hasrat GWGF dipersoal

KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011:Hasrat Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang mahu mendapatkan khidmat konsultan bebas dari dalam dan luar negara berhubung cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia dipersoalkan kerana seolah-olah mempertikaikan keputusan kerajaan.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, hasrat itu juga menggambarkan seolah-olah GWGF tidak yakin keputusan yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal memberi keuntungan kepada warga peneroka.

''Pada saya hasrat itu adalah sesuatu yang memalukan kerana pihak tersebut seperti tidak percaya kepada kemampuan dan pandangan daripada pakar-pakar tempatan dalam mencadangkan penyenaraian FGVH itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berhubung perkara tersebut sebelum boleh menyatakan sokongan atau sebaliknya.

Menurut Mohd. Jurit, Rozali juga sepatutnya meletakkan jawatan dalam GWGF sekiranya beliau tidak yakin dengan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Apatah lagi, kata beliau, kredibiliti Rozali dalam isu itu juga boleh dipertikaikan meskipun beliau menafikan salah seorang individu yang cuba mensabotaj usaha penyenaraian tersebut.

''Kita tidak pasti apa maksud atau agenda sebenar Rozali sehingga mahu pihak luar campur tangan dalam isu ini," katanya.

Mohd. Jurit menambah, GWGF tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang kehilangan arah mengenai penyenaraian FGVH kerana menyedari warga peneroka akan mendapat keuntungan besar dan setia kepada kerajaan.

''Sepatutnya Rozali dan GWGF menyokong penuh dan turut membantu supaya usaha penyenaraian itu boleh disegerakan kerana ia jelas memberi keuntungan kepada warga peneroka," katanya. - UM

1 comment:

  1. Mohd Jurit Ramli (MJR) bercerita soal GWGF dan Felda bagaikan sekeping roti politik. MJR sudah bukan orang Felda dan tidak merasa perit menjadi warga peneroka Felda. Tup tup mempersoal Tan Sri Rozali mengenai GWGF dan Felda. MJR mempersoalkan TSR, seorang usahawan berjaya dari Felda Gedangsa. Wahai MJR, jika ingin berpolitik, masuklah ke kandang lain, bukannya mencari rentap di ruangan Felda. Nak ajak bertumbok tapi MJR tersalah padang. Apa yang disebut oleh TSR sangat jelas dan tak perlu dijelaskan lagi. MJR kena belajar menyodok tandan sawit sebelum bercerita soal Felda dan peneroka.

    ReplyDelete