My Add

Saturday 17 December 2011

Tujuh Pusat Kecemerlangan dapat dana RM20 juta

PUTRAJAYA, SABTU, 17 Disember, 2011: Dana insentif sebanyak RM20 juta disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada tujuh Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memacu agenda inovasi.

Tujuh CoE Berpotensi tersebut ialah Photonics Research Centre (PRC) dan Universiti Malaya (UM); Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Centre for Research in Nanotechnology and Catalysis (Nanocen) dan UM serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan UKM; Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains (PKPPN) dan Universiti Sains Malaysia dan gabungan empat universiti teknikal iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis bersama Centre of Excellence for Malaysian Technical University Network.

Mengumumkan demikian, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dana tersebut yang akan diberikan secara one-off oleh kementerian bertujuan melonjakkan keupayaan dan pencapaian CoE berpotensi dalam bidang tujahan masing-masing.

Katanya, ia juga untuk membantu CoE tersebut mempergiatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar dapat menjadi pusat rujukan di peringkat nasional.

"Pada tahun lepas kita mengangkat enam CoE menjadi Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan selepas dua tahun kita memang dapat melihat impak padanya.

"Antaranya ialah dari segi penghasilan seramai 90 penyelidik di peringkat jazah Doktor Falsafah (PhD), 146 naskah penerbitan berimpak tinggi, 56 perluasan jaringan dan kolaborasi serta 17 penghasilan inovasi.

"Disebabkan terdapat beberapa CoE memerlukan sedikit masa lagi untuk dinaiktaraf kepada HICoE dan kita tidak mahu hasrat tersebut terbantut, maka tujuh CoE ini diangkat sebagai CoE Berpotensi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan CoE Berpotensi kementerian tersebut di sini, semalam. - UM

No comments:

Post a Comment