My Add

Saturday 17 December 2011

Pas Kelantan sedia terima calon luar

KOTA BHARU, SABTU, 17 Disember, 2011: Pas Kelantan sedia menerima calon luar bertanding di negeri itu jika perkara tersebut diputuskan oleh Majlis Syura dan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas Kelantan tidak ada masalah berhubung perkara tersebut seperti pilihan raya umum lalu.

"Dari segi prinsipnya, kita masih lagi menerima calon luar untuk bertanding. Cuma keperluan ini akan ditentukan oleh Pas Pusat," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah di pekarangan pejabat Pas Kelantan di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan mengatakan Pas Kelantan akan meletakkan calon dalam kalangan anak tempatan bagi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan menolak calon luar seperti Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dr. Mohd. Hatta Ramli (Kuala Krai) dan beberapa nama lain.

Dalam pada itu, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri turut menyifatkan terlalu awal bagi menyatakan individu yang telah disenaraikan sebagai calon oleh parti itu.

Ini termasuk kemungkinan anak Menteri Besar, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan menantu Nik Aziz bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab. Rahman turut tersenarai sebagai calon yang diluluskan parti di peringkat negeri.

"Setahu saya tak ada, setakat yang saya tahulah, tapi saya sendiri pun tak tengok, list (senarai)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan Pas Kelantan untuk terus membentuk kerajaan pada PRU13 di sebalik pelbagai isu yang melanda parti di peringkat negeri dan pusat. - UM

No comments:

Post a Comment