My Add

Wednesday 28 December 2011

Jenayah siber di Pahang babitkan kerugian RM1.3 juta

KUANTAN, RABU, 28 Disember, 2011: Kerugian sebanyak RM1.3 juta membabitkan kes penipuan menerusi jenayah siber dicatatkan di Pahang tahun ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, Supt Thomas Navamoney, berkata sejak Januari hingga 21 Disember lalu, sebanyak 26 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM1,313,481.88 dialami mangsa penipuan.

"Modus operandi sindiket terbabit ialah mereka menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara, polis atau pegawai kad kredit bank.
"Kebanyakan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi serta berjawatan besar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, mereka yang menjadi mangsa penipuan didapati kurang maklumat dan kesedaran terhadap jenayah siber. 

"Terdapat mangsa yang ditipu sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, paling tinggi ialah sebanyak RM400,000 daripada 26 kes yang dilaporkan itu," katanya. 

Katanya, mangsa mudah terpedaya sehingga sanggup memindahkan wang atau memberikan nombor akaun mereka beserta nombor pin kepada sindiket terbabit. 
"Kita meminta orang ramai mengabaikan panggilan daripada bank khususnya Bank Negara atau polis jika diminta menyatakan berkenaan akaun bank dan kad kredit," 
katanya. 

Thomas berkata, orang ramai diminta pergi ke bank bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkaitan akaun bank dan kad kredit mereka. 

"Jangan sesekali memindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon atau e-mel kepada orang yang tidak dikenali," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment