My Add

Wednesday 28 December 2011

Suami bekas CEO IIB didakwa rasuah

TERTUDUH Mohd. Amin Suhaimi didakwa atas tuduhan meminta dan memberi rasuah dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU, RABU, 28 Disember, 2011:Suami bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iskandar Investment Bhd. (IIB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM1.6 juta tahun lalu.

Mohd. Amin Suhaimi, 52, yang juga pengarah sebuah syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM816,900 daripada Pengarah syarikat Detect Engineering Sdn. Bhd., Mohd. Hassan Madon, 48, melalui Mohd. Iskandar Fahmi Abdullah, 52, yang berperanan sebagai orang tengah.

Suapan itu kononnya sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapat tender membina dan menyiapkan Sekolah Menengah Berasrama Penuh di atas sebahagian Lot PTD 154971, Mukim Pulai di sini daripada IIB.

Mohd. Amin didakwa melakukan perbuatan itu di Cafe Para-Para, Hotel Grand Paragon, di Jalan Harimau, Taman Century di sini kira-kira pukul 5 petang, 22 April 2010.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan RM500,000 daripada Mohd. Hassan melalui Mohd. Iskandar Fahmi, kononnya sebagai upah membantu syarikat Detect Engineering mendapat tender membina dan menyiapkan Sekolah Menengah Berasrama Penuh bernilai RM40.8 juta daripada IIB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta City Square, Jalan Wong Ah Fook di sini, kira-kira pukul 4 petang, 4 Jun tahun lalu.

Pertuduhan ketiga pula, Mohd. Amin didakwa menerima suapan RM316,900 daripada Mohd. Hassan melalui Mohd. Iskandar Fahmi bagi tujuan yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta Plaza Kota Raya, Jalan Trus di sini, antara pukul 2 dan 3 petang, 9 Jun 2010.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latiff mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan memandangkan tertuduh mengalami pelbagai kesukaran sejak ditahan pada 7 Julai lalu.

Mohd. Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan supaya pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes sebelum perbicaraan didengar selama 10 hari bermula 5 Mac depan.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya hari ini mendedahkan sebuah syarikat pemaju yang terlibat dalam projek mega membangunkan Iskandar Malaysia, Johor sedang disiasat oleh SPRM mengenai dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam projek yang bernilai berbilion ringgit.

Siasatan terhadap syarikat itu dibuat kerana dipercayai berlaku unsur penyelewengan dalam perolehan kontrak dan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan penyelewengan tersebut turut melibatkan orang tengah yang bertanggungjawab mendapatkan beberapa projek bagi syarikat itu.

Syarikat yang disiasat itu bertanggungjawab membangunkan pelbagai projek besar dalam Iskandar Malaysia, antaranya pembinaan infrastruktur, pusat pendidikan, kawasan perumahan, jalan, lebuh raya serta pusat riadah yang bernilai ratusan bilion ringgit.

No comments:

Post a Comment