KUALA LUMPUR, SABTU, 17 Disember, 2011: Tindakan Pas mengheret UMNO dan menuduh Pengerusi Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa terperangkap dalam agenda parti Melayu terbesar itu jelas menunjukkan parti itu takut kepada bayang-bayang mereka sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, segelintir pemimpin Pas kini semakin terdesak untuk menjaga kepentingan masing-masing dalam parti dan sewenang-wenangnya menuding jari ke arah pihak lain.
"Seperti sebelum-sebelum ini, Pas terus menjadikan UMNO sebagai kambing hitam pada setiap masalah yang menimpa mereka. Mereka terlalu takut untuk menggalas tanggungjawab selesaikan masalah sendiri.
"Dalam hal Hasan dan Nasharudin ini, kedua-dua secara jujurnya menyuarakan pendirian mereka. Adakah setiap kali terdapat pemimpin jujur, berfikiran terbuka dan tak amalkan politik sempit, golongan itu terperangkap dengan UMNO?
"Saya jelaskan di sini, UMNO tidak ada kena-mengena berkaitan perkara ini. Bagaimana pula dengan kedudukan Ketua Pemuda Pas (Nasrudin Hassan) yang menyokong Hasan? Terperangkapkah mereka dengan UMNO?" katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kononnya kedua-dua Hasan dan Nasharudin telah terheret dengan agenda UMNO yang sedikit-sebanyak boleh melemahkan parti tersebut.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyarankan semua umat Islam yang selama ini terperangkap dengan agenda Pas supaya sedar daripada permainan parti tersebut yang menggunakan agama demi kepentingan politik semata-mata.
"Kepada Pas, janganlah membuta tuli mengikut telunjuk DAP yang sudah menjadi 'taukeh baru' mereka. Secara jelas, tindakan tersebut menukar kiblat politik mereka kini, semuanya berpunca daripada DAP," katanya. - UM
No comments:
Post a Comment