My Add

Tuesday 27 December 2011

Pegawai polis kena tetak ketika serah saman

ALOR SETAR, SELASA, 27 Disember, 2011: Seorang pegawai polis cedera parah ditetak manakala seorang lagi cedera ringan setelah terbabit dalam satu pergelutan dengan seorang lelaki di Kampung Gelam 2, Alor Pudak, Bukit Besar, dekat Yan, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Inspektor Mohd Firdaus Zainal, 29, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, cedera parah di kaki kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala seorang lagi mangsa, iaitu pegawai polis berpangkat Inspektor, menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Yan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata sepasukan 12 pegawai dan anggota polis ke rumah suspek yang berusia 45 tahun bagi menyerahkan saman kepada suspek berhubung satu kes lain.

Beliau berkata, suspek yang melihat kehadiran polis mengambil parang panjang sebelum menyerang pegawai serta anggota polis itu serta merosakkan kenderaan mereka. 

"Suspek dan pasukan polis itu terbabit dalam pergelutan dan pihak polis tidak menggunakan senjata kerana mahu menangkap suspek secara biasa. Seorang pegawai kena libasan parang dan mengalami kecederaan serius," katanya kepada pemberita ketika melawat Mohd Firdaus. 

Ahmad berkata, suspek berjaya ditahan di tempat kejadian untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 atau Seksyen 326 Kanun Keseksaan. 

"Mangsa (Mohd Firdaus) sudah tiga tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia. Suspek dikatakan ada masalah mental tetapi kita akan rujuk kepada hospital untuk pengesahan," katanya sambil menambah nilai kerosakan yang dialami kenderaan polis itu dianggarkan RM2,500.

Di YAN, Ketua Polis Daerah, DSP Ismail Abu, berkata suspek yang turut cedera dalam pergelutan itu kini dirawat di Hospital Yan. 

Sementara itu, ibu suspek yang enggan dikenali berkata ketika kejadian beliau melarikan diri ke rumah jiran berhampiran. 

Beliau berkata, anak lelakinya itu yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik, kurang waras sejak empat tahun lalu namun tidak pernah dirawat. 

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie, ketika dihubungi, berkata pegawai polis itu dimasukkan ke hospital itu pada 3.24 petang dan kini stabil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment