My Add

Tuesday 27 December 2011

SPRM proses kertas siasatan berkaitan NFC

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Disember, 2011: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC). 

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata kertas siasatan itu akan dihantar kepada pihak pendakwa raya selepas siap.

"Kita tidak menutup kertas siasatan ini walaupun suspek sudah dibebaskan setelah remannya oleh pihak kami tamat semalam.

"Tetapi sekarang ini kita memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat suspek berhubung satu kes penipuan," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Laporan akhbar menyebut suspek lelaki berusia 45 tahun itu yang direman lima hari sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan kes NFC, sudah dibebaskan namun ditahan semula oleh polis semalam bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan projek stesen minyak. 

Mustafar berkata, pegawainya sedang mengumpulkan maklumat daripada semua aspek yang boleh membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009. 

Beliau berkata, ini termasuk mendapatkan maklumat daripada pusat pemprosesan pusat (CPU) dan empat sampul surat besar putih, dipercayai mengandungi dokumen lain yang diambil dari pejabat NFC di Solaris Mont Kiara dekat sini Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Izany Abdul Ghany, ketika dihubungi, berkata suspek kini ditahan reman sehingga 29 Dis bagi membantu siasatan kes penipuan terbabit. 

Isu NFC berbangkit berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lalu yang menyatakan ia gagal memenuhi matlamat penubuhannya, manakala pembangkang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana terutama berkaitan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment