My Add

Monday 12 December 2011

PRU-13: Hasan Ali bersedia tidak dicalonkan semula

KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Disember, 2011:
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali berkata, beliau bersedia tidak dicalonkan semula oleh Pas untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas bagi kawasan Gombak Setia berkata, sama ada beliau digugurkan atau tidak, ia tidak menimbulkan masalah dan halangan serta tidak memerlukan parti atau presiden untuk mengiktiraf beliau dan hanya setia kepada Allah.

"Soal ini (calon) kecil. Agenda nak martabatkan Islam bukan sempadannya Selangor, Perak, Malaysia tetapi alam buana ini. Kalau itu menyebabkan saya kecewa, saya rasa kecil benarlah cita-cita untuk menegakkan Islam itu.

"Saya hendak Allah SWT mengiktiraf usaha kecil yang saya jalankan untuk perpaduan umat, untuk bangsa Melayu dan kedaulatan institusi raja Melayu.

“Kalau berjuang atas Islam, Melayu tak tertakluk kepada ganjaran sama ada berbentuk wang, jawatan, pangkat sebagainya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Beliau mengulas demikian berikutan kontroversi laporan akhbar semalam yang mengatakan beliau digugurkan daripada menjadi calon Pas bagi bertanding pada PRU akan datang, namun dinafikan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor selama lapan tahun itu berkata, setakat ini, pimpinan tertinggi parti juga tidak memaklumkan apa-apa perkara mengenai sama ada beliau digugurkan daripada menjadi calon ataupun sebaliknya. – Bernama

No comments:

Post a Comment