My Add

Friday 16 December 2011

Tidak pajak tanah milik peneroka

Datuk Sabri Ahmad
KUMPULAN, JUMAAT 16 Disember, 2011: FELDA Global (Felda Global) menjelaskan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia tidak akan membabitkan pajakan tanah milik peneroka sebaliknya hanya tanah di bawah kelolaan kumpulan.

Presidennya, Datuk Sabri Ahmad berkata, keseluruhan tanah yang dimiliki Felda adalah sekitar 860,000 hektar dengan anggaran 500,000 hektar adalah di bawah pemilikan peneroka.

“Tanah yang diuruskan Felda adalah sebanyak 360,000 hektar dan bahagian ini yang akan dipajakkan kepada FGVH.

“Malah, pihak pengurusan tidak akan mengganggu tanah kepunyaan peneroka,” katanya selepas sidang media penemuan kaedah jangkitan Ganoderma di Pusat Bioteknologi Felda di Sepang, semalam.

Menurutnya, peneroka tidak seharusnya bimbang dengan urusan penyenaraian berkenaan berikutan ia akan memberi faedah jangka panjang kepada mereka.

“Melalui penyenaraian ini, pemegang saham utama iaitu Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan mendapat manfaat melalui dividen yang lebih tinggi setiap tahun, bergantung pada harga pasaran.

“Ia juga secara tidak langsung menjadi pendapatan sampingan kepada 112,635 ahli KPF yang juga peneroka Felda seluruh negara selain daripada pendapatan yang diperoleh melalui hasil tanaman mereka,” katanya.

Menurutnya, peneroka juga dijangka menerima durian runtuh yang akan diumumkan kelak hasil penyenaraian yang dilakukan.

“Kami juga berharap, semua peneroka dapat membuat pembelian saham melalui borang merah jambu (pink form) menggunakan skim pinjaman yang akan diatur pengurusan Felda,” katanya.

Sabri berkata, usaha untuk menyenaraikan FGVH sedang giat dijalankan dan dijangka selesai menjelang April 2012.

Setakat ini, terdapat lima bank dilantik untuk membantu urusan penyenaraian antaranya Maybank Investment, CIMB Investment dan JP Morgan.

No comments:

Post a Comment