My Add

Wednesday 28 December 2011

Wanita meraung selepas dihukum gantung

ALOR SETAR, RABU, 28 Disember, 2011: Seorang bekas pegawai pemasaran warga Indonesia menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana didapati bersalah mengedar dadah seberat 841.63 gram (g), tahun lalu. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Maggie Taissya Olyvia, 27, yang juga bekas graduan perbankan sebuah universiti di Jakarta, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh yang berasal dari Depok, Jakarta didapati bersalah mengedar 656.15 g heroin dan 185.14 g monoacetylmorphine di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK) Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 12.15 tengahari pada 20 September 2010.

Maggie Taissya yang memakai baju lengan panjang biru dan berseluar gelap pada mulanya kelihatan tenang sebaik hukuman terhadapnya dibacakan, bagaimanapun wanita itu gagal mengawal perasaan dan meraung sebaik saja dibawa masuk oleh polis ke dalam lokap mahkamah sebelum ditenangkan. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. 

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan Maggie Taissya mengetahui mengenai kewujudan dadah di dalam beg dibawanya ketika ditahan. 
"Dalam keterangannya, tertuduh juga mengakui yang dia tahu beg dibawanya itu mengandungi dadah tetapi tidak mengetahui dadah jenis apa. 

"Dengan itu, tertuduh didapati bersalah sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 39B(2) dan hanya satu hukuman ke atas pesalah iaitu hukuman gantung sampai mati," katanya. 

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan di KIK Bukit Kayu Hitam selepas anggota kastam mengesan kewujudan dadah menerusi mesin imbasan di dalam beg dibawanya. 

Dadah berkenaan dipercayai diletakkan di dalam sampul surat ditempatkan dalam ruangan khas di bagasi dibawanya sebelum dipaksa buka dengan cara menoreh di bahagian berkenaan bagi mengeluarkan dadah terbabit. 

Tertuduh dalam keterangannya mengakui bahawa dia menerima tawaran daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Nick di Jakarta untuk membawa beg itu dari Kemboja ke Malaysia. 

Tertuduh kemudian dikatakan pergi ke Phnom Penh untuk bertemu seorang lelaki bernama Daniel sebelum memintanya membawa bagasi berkenaan ke Malaysia menerusi Thailand. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shuhada Mat Yatim, manakala tertuduh diwakili A J Surinarayanan. 

No comments:

Post a Comment