Ops Tegas: 108 peniaga asing ditahan
KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 Februari, 2014: Seramai 108 warga asing ditahan dalam Operasi Tegas (Ops Tegas) yang dijalankan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu, di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Minhad Ahmad berkata, penahanan itu berikutan kesemua mereka didapati menjalankan perniagaan dan menjadi pembantu gerai secara haram.
Menurutnya, kadar sewa RM4,000 sehingga RM6,000 merupakan antara caj yang dikenakan pemegang lesen kepada peniaga warga asing bagi membolehkan mereka menggunakan lesen berkenaan.
"Tindakan yang diambil adalah di bawah Akta 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan, Penjaja dan Gerai 1989 kerana telah melanggar syarat-syarat yang termaktub dalam peraturan itu.
"Undang-undang tersebut jelas menyatakan warganegara yang ingin menjaja perlu mendapatkan kebenaran dan gerai mereka tidak boleh disewakan kepada warga asing," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Tegas di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu, di sini, hari ini.
Operasi yang bermula pukul 4.30 pagi hingga 11.30 pagi itu melibatkan 120 anggota dan pegawai DBKL, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh serta diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Selain tangkapan, 32 gerai milik peniaga tempatan disita kerana didapati melakukan kesalahan menyewa kepada warga asing .
"Operasi ini akan diteruskan dua atau tiga kali setiap bulan bagi membanteras warga asing yang berniaga secara haram,"katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment