My Add

Tuesday 25 February 2014

PLKN laksana NBOS

 * HISHAMMUDDIN Hussein memasukkan replika kunci bersama Dr. Ismail Ahmad (kiri sekali), Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan (dua dari kiri), Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid (dua dari kanan) dan Abdul Hadi Awang Kechil dalam majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) peringkat JLKN di Kem PLKN Perkasa Mantin, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN, ISNIN, 24 Februari, 2014: Kerajaan bersetuju agar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijadikan pemangkin kepada pelaksanaan aktiviti atau program kesukarelaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha meletakkan PLKN di bawah NBOS merupakan transformasi penting dalam memastikan program itu kekal relevan.

Katanya, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bersama lebih 80 kementerian dan agensi kerajaan sedang bekerjasama untuk merangka dan melaksanakan inisiatif NBOS yang kreatif dan menjimatkan kos.

"PLKN akan melaksanakan empat inisiatif utama di bawah NBOS iaitu Khidmat Komuniti, Sukarelawan Sukma (Sukan Malaysia) 2014, Sukarelawan Pelancongan dan Sukarelawan Keselamatan Jalan Raya," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan NBOS JLKN di Kem PLKN Seri Perkasa, Mantin dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad; Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid; Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Melalui Khidmat Komuniti, kata Hishammuddin, para pelatih dan bekas pelatih PLKN akan dilibatkan dalam 39 aktiviti khidmat komuniti atau kesukarelaan yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini.

"Ia termasuk membantu masyarakat di kawasan yang terjejas akibat krisis bekalan air yang melanda di beberapa kawasan di negara ini," ujarnya.

Beliau menambah, di bawah inisiatif Sukarelawan Sukma 2014, sukarelawan PLKN dan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) akan terlibat dalam pelaksanaan upacara pembukaan dan penutup sukan tersebut, larian obor dan membantu dalam acara balapan dan padang.

Selain itu, jelasnya, bagi inisiatif Sukarelawan Pelancongan, sukarelawan PLKN dan BSKN akan terlibat sebagai pembantu pemandu pelancong, pemuliharaan, promosi kraftangan, pendaftaran kehadiran pelancong dan tugas-tugas lain yang diarahkan dari semasa ke semasa.

"Di bawah inisiatif Sukarelawan Keselamatan Jalan Raya, sukarelawan PLKN dan BSKN akan terlibat menjayakan kempen keselamatan jalan raya dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Skuad Muda 1JPJ," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment