My Add

Tuesday, 25 February 2014

Kanak-kanak jadi mangsa pergolakan politik

 * BAPA kepada dua beradik yang terkorban kelmarin, Thayakorn Yosubon, meratapi kematian seorang daripada anaknya yang maut akibat letupan di lokasi bantahan antikerajaan di Bangkok, semalam. - REUTERS
BANGKOK, ISNIN, 24 Februari, 2014- Seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia hari ini akibat kecederaan yang dialami dalam serangan bom tangan di sebuah lokasi beli-belah di sini.

Kematian budak perempuan berusia enam tahun itu menjadikan angka korban melibatkan kanak-kanak akibat keganasan politik semalam, meningkat kepada tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang merupakan adik mangsa.

Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat terkena tembakan rambang di wilayah Trat, timur Thailand, lewat kelmarin.

Insiden terbaharu itu turut mendapat perhatian Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) yang mengecam pembunuhan kanak-kanak ekoran krisis politik di Thailand.

UNICEF dalam kenyataannya menggesa ketua penunjuk perasaan dan ibu bapa melindungi anak masing-masing dengan tidak membawa golongan tersebut ke lokasi bantahan.

Perdana Menteri sementara Thailand, Yingluck Shinawatra dalam kenyataannya melalui laman sosial Facebook, turut mengutuk pembunuhan terbabit yang berlaku di kawasan perniagaan di wilayah Trat, timur Thailand, sebagai tindakan pengganas.

"Saya mengecam penggunakan kekerasan sejak akhir-akhir ini sehingga menyebabkan nyawa kanak-kanak turut terkorban.

"Kejadian keganasan merupakan tindakan pengganas yang bermotifkan politik tanpa mengira kepentingan nyawa manusia," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Thailand masih menyiasat kejadian letupan dan tembakan di lokasi perhimpunan penunjuk perasaan yang mengakibatkan tiga kanak-kanak itu terbunuh.

Kumpulan penunjuk perasaan dan pihak polis saling menunding jari dalam insiden tersebut selain mendakwa kewujudan pihak ketiga yang sengaja mengambil kesempatan ke atas krisis politik negara ini. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment