My Add

Thursday 29 May 2014

Chegu Bard digantung serta-merta

Oleh HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR, RABU 28 Mei, 2014: Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggantung keahlian Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin serta-merta dan diberi surat tunjuk sebab kerana membuat kenyataan media mendakwa proses pemilihan PKR adalah kotor dan tidak telus.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong berkata, Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard turut membuat dakwaan terbuka dengan menyatakan "Petugas JPP menjadi agen kepada Azmin Ali" pada 12 Mei lalu dan disiarkan dalam laman "mysuara.net" dan portal Free Malaysia Today.

"Badrul Hisham juga telah membuat kenyataan terbuka mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR dalam akhbar Berita Harian pada 21 Mei lalu bertajuk "Keputusan penuh penipuan: Chegubard".

"Beliau akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai," ujarnya dalam kenyataan menerusi portal rasmi PKR, Keadilan Daily hari ini.

Selain itu, Kee Wong menambah, Md. Yusop Kamaruddin dari PKR Cabang Pasir Salak dipecat daripada parti kerana mengkritik dan menyerang Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR melalui laman Facebooknya manakala M. Nageswaran dari PKR Cabang Kota Raja digantung keahliannya.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR mengesahkan ahli-ahli kongsi gelap mendalangi insiden kekecohan yang berlaku semasa pengundian dijalankan di cabang Kota Raja dan Kuala Langat pada 11 Mei lalu.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata, siasatan pihaknya mendapati ahli-ahli kongsi gelap terbabit yang dipercayai bukan ahli PKR merempuh masuk ke dalam pusat pengundian dan menimbulkan kekecohan serta menjadikan peti-peti undi sebagai sasaran.

Menurut beliau, insiden kekecohan melibatkan ahli-ahli kongsi gelap berlaku selepas pukul 2.30 petang.

"Sebagai langkah keselamatan, beberapa perincian tidak akan kami umumkan untuk melindungi informan-informan yang terlibat dalam proses siasatan.

"Kami telah menerima banyak rakaman video tentang insiden-insiden sabotaj dan kami sedang meneliti video-video ini untuk mengambil tindakan lanjut," katanya dipetik daripada portal yang sama.

Proses pemilihan di PKR Cabang Kota Raja terpaksa dibatalkan meskipun proses pengundian hampir berakhir pada kira-kira pukul 5 petang berikutan sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melempar ke lantai dewan pusat pengundian di Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Kekecohan turut berlaku ketika proses pemilihan PKR Cabang Kuala Langat pada pukul 4.55 petang apabila sekumpulan lelaki dipercayai ahli parti menyerbu masuk serta melakukan provokasi ke atas pusat pengundian di Dewan Wawasan Batu 9, Teluk Panglima Garang selain memecahkan peti undi dipercayai tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari memberitahu, pemilihan semula lapan cabang PKR iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Jerantut, Paya Besar, Pasir Puteh dan Pengerang akan dijalankan pada 31 Mei ini manakala dua lagi cabang iaitu Tenggara serta Sungai Petani pada keesokannya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment