My Add

Wednesday, 28 May 2014

Patuhi etika berpakaian ketika ziarah jenazah Sultan Perak

IPOH, RABU 28 Mei, 2014: Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah esok perlu mematuhi beberapa garis panduan berpakaian.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak hari ini, lelaki Islam perlu memakai pakaian kebangsaan berwarna gelap, bersamping warna gelap tanpa corak benang emas atau perak serta bersongkok hitam dengan lilitan kain putih atau riben selebar satu inci.

Lelaki bukan Islam pula perlu memakai sut berwarna gelap dengan bertali leher hitam atau berseluar panjang dan berbaju tangan panjang dengan dililit kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju tangan kiri.

Sementara itu, perempuan Islam pula perlu berbaju kurung atau berkain sopan dan bertudung hitam.

Perempuan bukan Islam pula hendaklah berpakaian sopan serta memakai lilitan kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju kiri.

Penghormatan terakhir oleh orang ramai diadakan mulai 11 pagi hingga 2 petang esok di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment