My Add

Thursday 29 May 2014

Pos Malaysia lancar sampul surat kenangan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, RABU 28 Mei, 2014: Bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan sampul surat kenangan khas dengan setem serta fail.

Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Bahaman Kamaruzzaman berkata, sampul surat itu akan dikeluarkan secara rasminya pada 31 Mei ini, iaitu tarikh Malaysia dan China mula menjalin hubungan diplomatik semasa kepemimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak pada 1974.

"Bagaimanapun, sampul surat dan fail edisi terhad ini hanya akan mula dijual di cawangan Pos Malaysia pada 2 Jun.

"Sampul surat khas ini hanya dicetak 35,000 keping dan 2,000 keping fail khas akan dijual di 704 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara," katanya pada majlis pelancaran sampul surat di ibu pejabat Pos Malaysia, di sini hari ini.

Pengeluaran sampul surat itu adalah yang ketiga seumpamanya selepas dikeluarkan buat pertama kali pada sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia China ke-30 disusuli sambutan ulang tahun ke-35.

"Sampul surat khas itu akan dijual bersama dengan setem pada harga RM1.90 sekeping, manakala fail khas akan dijual berasingan dengan harga RM6 sekeping.

"Rekaan sampul surat itu menampilkan dua keping setem dengan gambar bangunan Putra Perdana, Putrajaya dan Dewan Besar Rakyat di Beijing sebagai lambang pusat pentadbiran negara. Manakala di sampul surat itu turut menampilkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden China, Xi Jinping berjabat tangan selain memaparkan jata negara Malaysia dan China," katanya.

Sementara itu, pengumpul setem juga digalakkan untuk mendaftar sebagai anggota SODA (Pesanan Akaun Tetap) bagi mendapatkan setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan Pos Malaysia tanpa perlu beratur di kaunter pos semasa hari keluaran.

"Setakat hari ini, kita mempunyai 9,000 anggota SODA yang aktif. Dengan pengeluaran edisi terhad ini, orang awam perlu segera mendapatkan keluaran khas ini yang hanya berbaki 26,000 keping selepas anggota SODA mendapatkanya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment