My Add

Thursday 29 May 2014

Rumah kosong kes rogol memang sarang penagih dadah

KOTA BHARU, RABU 28 Mei, 2014: Sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh dekat ini yang merupakan lokasi kejadian dua gadis diperkosa 38 lelaki, Selasa lalu, pernah diserbu beberapa kali oleh polis kerana menjadi sarang penagih dadah.

Penduduk di sekitar kampung itu mendakwa, rumah tersebut ditinggalkan kosong oleh pemiliknya sejak beberapa tahun lalu dan terbiar begitu sahaja.

Seorang penduduk, Rogayah Abdullah, 57, berkata, sejak ditinggalkan, rumah berkenaan dijadikan tempat melepak anak-anak muda selain dijadikan 'bengkel' membaiki motosikal.

"Rumah itu telah beberapa kali diserbu polis kerana disyaki menjadi tempat kegiatan penagihan dadah seperti pil kuda.

"Saya tidak menyangka rumah itu turut menjadi lokasi kejadian rogol," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rogayah, untuk mengelakkan kejadian serupa, rumah yang terletak hanya beberapa meter dari rumahnya itu perlu ditutup atau dirobohkan.

"Saya pernah meminta pemiliknya merobohkan sahaja rumah tersebut namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.

"Walaupun polis sudah beberapa kali membuat serbuan, ia tetap menjadi tempat remaja melepak," katanya

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mat Hussin Mat Nor, 59, berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut boleh berlaku di rumah berkenaan.

"Rumah kosong ini memang tempat melepak budak-budak remaja. Malah, golongan yang lebih dewasa juga melepak di situ.

"Kami tidak tahu apa yang mereka lakukan di dalam rumah dan hanya boleh melihat dari jauh, jika ditegur takut berlaku pergaduhan pula," katanya.

Justeru, kata Mat Hussin, dia meminta pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan itu setiap hari bagi mengelak kejadian sama berulang.

Dalam kejadian malam Selasa minggu lalu, seorang gadis mendakwa dia dan rakannya dirogol kira-kira 38 lelaki di rumah berkenaan manakala rakan lelakinya dipaksa menonton aksi jijik tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment