My Add

Wednesday 28 May 2014

Sultan Perak akan disemayam di Istana Iskandariah esok

IPOH, RABU 28 Mei, 2014: Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mangkat hari ini boleh menziarahi jenazah baginda yang akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, esok.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, waktu untuk memberi penghormatan terakhir bagi pembesar-pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi.

"Manakala orang ramai boleh melakukannya bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang," katanya dalam pengumuman secara langsung melalui RTM hari ini.

Baginda yang mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, esok.

Zambry berkata, bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.

"Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya.

Zambry turut mengisytiharkan esok cuti umum bagi negeri Perak sebagai tanda penghormatan sempena pemakaman Almarhum. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment