My Add

Thursday 29 May 2014

Jasa Sultan Azlan dalam perundangan terlalu besar

 * SULTAN Azlan Shah ketika menjawat jawatan Majistret.
KUALA LUMPUR, RABU 28 Mei, 2014: Jasa Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam bidang perundangan terlalu besar sehingga kebanyakan hasil kerjanya menjadi rujukan untuk para peguam dan hakim sehingga hari ini.

Peguambela dan Peguamcara, Datuk Salehuddin Saidin berkata, Almarhum Sultan Azlan merupakan bekas ketua hakim yang mempunyai banyak pengetahuan dalam undang-undang malah keputusan beliau dalam kes yang dihakimi telah ditulis dan dirakam dalam jurnal undang-undang.

Beliau yang juga rakyat negeri Perak berkata, Tuanku sebagai seorang raja telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan bersandarkan prinsip-prinsip perundangan.

"Almarhum Tuanku mempunyai "sifat-sifat penyabar' sebagai seorang hakim sehubungan itu bidang perundangan dalam negara sememangnya berasa kemangkatan baginda sebagai kehilangan yang besar.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan menempatkan baginda dalam kalangan orang-orang yang beriman. Saya rakyat negeri Perak amat terasa pemergiannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang mengucapkan takziah atas pemergian Sultan Azlan berkata, Almarhum merupakan hakim negara yang amat disenangi dan dikenali.

"Rakyat telah kehilangan Sultan yang amat dikasihi dan dihormati. Baginda terlalu banyak jasa untuk negara ini terutama dalam bidang perundangan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi Peguambela dan Peguamcara, Datuk K. Kumaraendran menyifatkan Sultan Azlan merupakan seorang raja yang peramah selain tidak pernah meletakkan jarak antara diri baginda dan rakyat.

Kata beliau, sikap Sultan Azlan yang "mendengar dan bersabar' dalam penghakiman menjadikan baginda antara hakim paling popular dan disenangi oleh banyak peguam.

"Kehebatan baginda dalam bidang perundangan tidak boleh dinafikan. Malah cara baginda menangani kes juga amat berbeza. Orang ramai pasti akan berpuas hati dengan setiap keputusan bagi kes-kes yang dihakiminya.

"Ramai yang tidak tahu, baginda juga seorang yang pandai berjenaka dengan rakan-rakannya. Kerana itu baginda mudah didekati rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment