My Add

Thursday 29 May 2014

Edar dadah: Wanita Mongolia dibebaskan

SHAH ALAM, RABU 28 Mei, 2014:-Seorang wanita warga Mongolia mampu menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan morfin seberat 363.6 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu terhadap pelajar kolej swasta, Zolzaya Natsagdorj, 26, setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, setelah meneliti keterangan saksi dan hujah pendakwaan serta pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh tidak mempunyai pengetahuan terhadap satu beg kertas berisi dadah yang diberi kepadanya oleh seorang lelaki, justeru menganggap tiada pengedaran dadah berlaku.

Hakim Akhtar berkata, mahkamah turut mengambil kira faktor tertuduh yang mengikuti kursus pengurusan dan perniagaan antarabangsa itu telah mendapat didikan yang baik daripada keluarganya dan berasal daripada keluarga yang baik.

"Tidak wujud bukti yang menunjukkan tertuduh mengalami masalah kewangan selain dia pelajar yang cemerlang dan aktif dalam aktiviti sosial dan kebudayaan di negaranya dan Malaysia," katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat, tertuduh tidak akan merosakkan masa depannya dengan melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Wanita itu didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 278.6 gram dan monoacetylmorphine seberat 85 gram di sebuah rumah di Subang Jaya dekat sini pada pukul 1.30 pagi, 26 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie telah mengemukakan empat saksi sementara pihak pembelaan yang diwakili peguam L. A. Gomes mengemukakan lima saksi termasuk bapa tertuduh dan teman lelakinya.

Pada 16 Mei lalu, Zolzaya diperintah membela diri atas tuduhan bersama-sama teman lelakinya yang juga warga Mongolia, Barsbaatar Ganbold, 22, mengedar dadah tersebut di rumah berkenaan.

Walau bagaimanapun, Barsbaatar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment