My Add

Thursday 29 May 2014

Sindiket kaut untung jutaan ringgit

Oleh Haniza Hassan

JOHOR BAHRU, RABU 28 Mei, 2014: Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang didalangi sindiket antarabangsa, dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil penjualan bahan bakar itu kepada kapal dagang dengan harga AS$1 (RM3.20) berbanding harga asal RM2 seliter.

Malah, pelbagai cara digunakan sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada dikenakan tindakan termasuk memalsukan dokumen pembekalan syarikat minyak.

Perkara tersebut didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Iskandar Halim Sulaiman selepas pasukannya menggagalkan cubaan menyeludup sebanyak 3.7 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM7.4 juta di kedudukan 4.5 kilometer dari Pulau Lima berhampiran Sungai Rengit, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, operasi bersepadu mulai pukul 5.20 petang itu disertai beberapa agensi termasuk Pasukan Polis Marin serta Jabatan Laut dan diselaraskan oleh Pasukan Petugas Khas, Jabatan Peguam Negara.

"Dalam operasi berkenaan, empat buah kapal dagang masing-masing satu didaftarkan di Kuching, Sarawak dan tiga lagi di Panama ditahan bersama 52 anak kapal warga Vietnam, Thailand dan Indonesia.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapten kesemua kapal berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen yang berkaitan dengan bahan bakar tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Terminal Feri Tanjung Belungkor, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan selama seminggu oleh pihak berkuasa mendapati sindiket berkenaan memindahkan diesel tersebut di jeti persendirian melalui kapal tangki kecil sebelum dipindahkan ke kapal tangki besar yang menunggu di kawasan perairan berkenaan.

Iskandar memberitahu, kejayaan rampasan yang disifatkan sebagai paling besar dalam sejarah penguatkuasaan KPDNKK terhadap penyelewengan diesel itu adalah rentetan daripada operasi pada 4 April lalu di Kuantan, Pahang dan 19 Mei lalu di Tanjung Belungkor.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai aktif di perairan selatan dan utara tanah air sejak beberapa bulan lalu dan mengaut keuntungan mudah dengan menjual diesel bersubsidi itu dengan harga AS$1 seliter kepada kapal dagang yang berlabuh di perairan negara.

"Dalam kes ini, mereka mampu meraih lebih RM11 juta dengan menjual bahan bakar itu kepada kapal dagang yang berlabuh di perairan negara kita.

"Bagi membanteras kegiatan ini, kerjasama daripada orang ramai amat diperlukan dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau salurkan maklumat kepada pejabat kementerian berhampiran," katanya.

Beliau berkata, jika dicampur dengan empat buah kapal tangki yang disita di dalam operasi terbabit, nilai keseluruhan rampasan oleh anggota KPDNKK mencecah sehingga RM50 juta. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment