My Add

Thursday 29 May 2014

Komando maut, 2 cedera terkena tembakan

Oleh ASSIM HASSAN

 * ANGGOTA polis melakukan siasatan berhubung kejadian seorang anggota tentera yang maut ditembak rakannya di hadapan kedai serbaneka 24 jam di Pekan Lahad Datu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU, RABU 28 Mei, 2014: Seorang anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbunuh manakala dua orang awam cedera selepas seorang anggota pasukan itu secara tiba-tiba melepaskan empat das tembakan yang dipercayai untuk meleraikan satu kekecohan di hadapan kedai serbaneka 24 Jam di Pekan Lahad Datu, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Lans Koperal Muhamad Fiffixzafey Mat Hussin, 28, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, cedera di bahagian kiri dadanya sebelum meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kedua-dua orang awam yang cedera itu berusia 31 dan 38 tahun serta bekerja sebagai penjaga kelab malam.

"Seorang daripada mereka cedera di betis kiri manakala seorang lagi cedera di bahagian belakang sebelah kiri badan dan sedang menjalani rawatan di Hospital Lahad Datu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hamza berkata, semasa kejadian, anggota tentera yang melepaskan tembakan itu sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone) di daerah berkenaan.

Kata beliau, siasatan di tempat kejadian pula menjumpai empat kelongsong peluru bersaiz 5.56 milimeter disyaki daripada senjata M16 dan kesan tompokan darah.

Katanya, suspek melarikan diri selepas insiden berkenaan dan usaha memburunya sedang giat dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan 307 kerana membunuh serta cubaan bunuh.

"Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang kerana keadaan keselamatan terkawal dan kes itu tidak melibatkan suspek dari luar," katanya.

Sumber memberitahu, setakat pukul 4.30 petang ini, seramai 14 individu termasuk 11 daripadanya anggota tentera ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan.

"Kesemua anggota tentera itu dipercayai berada di lokasi kejadian," ujarnya.

Sementara itu, Tentera Darat (TD) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pasukan tersebut turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.

Jelas kenyatan itu, insiden tersebut tidak menjejaskan sebarang ketenteraman awam dan tiada kaitan dengan isu keselamatan di perairan pantai Sabah.

"Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan diperoleh oleh pihak polis dan TD," kata kenyataan itu lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment