My Add

Thursday 29 May 2014

Lima MoU antara Malaysia-China

Oleh Rozaman Ismail

 * NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor meluangkan masa hampir sejam melawat Muzium Terracotta yang mempamerkan tentera Terracotta dari Dinasti Qin di Xi'an, China, semalam. - BERNAMA
BEIJING, RABU 28 Mei, 2014: Sekurang-kurang lima memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan China akan ditandatangani sepanjang lawatan enam hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara ini.

Antaranya MoU berkaitan dengan sains pertahanan, teknologi dan industri, program eksekutif bagi kerjasama kebudayaan, penubuhan dua pejabat konsulat China di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang serta konsulat Malaysia di Nanning.

Pejabat konsulat itu ditubuhkan bagi memudahkan urusan imigresen rakyat di wilayah-wilayah terlibat untuk ke Malaysia dan sebaliknya.

Dua lagi memorandum persefahaman adalah antara Mofcom, China dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.

Selain itu, Kumpulan Pos China dan Pos Malaysia juga akan menandatangani memorandum sama bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut.

Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi enam hari ke sini sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China dengan mengunjungi bandar bersejarah Xian semalam.

Sepanjang berada di Xian, Perdana Menteri yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Muzium Pahlawan Terracotta Qin, Masjid Besar Xian yang berusia 1,200 tahun serta merasmikan Minggu Festival Makanan Halal Malaysia-Xian di Jalan Beiyuanmen (Jalan Muslim) dan melawat gerai Malaysia di situ.

Hari ini, Najib tiba di sini bagi memulakan bahagian kedua lawatan dengan menyaksikan persembahan Permata Seni Malaysia dan Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Beijing pada Malam Gala Malaysia-China yang membawa tema Persahabatan Merentasi Generasi.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Li Keqiang dan dijadualkan mengunjungi Presiden China Xi Jinping pada keesokan harinya.

Selain itu, Najib juga akan melawat Beijing Foreign Studies University, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Huawei dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Niujie.

Beliau juga akan menghadiri sidang kemuncak ekonomi yang disertai oleh pemain-pemain industri di China.

Majlis sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang merupakan kemuncak bagi lawatan ini akan berlangsung pada Sabtu ini di The Great Hall of People atau Dewan Agung Rakyat.

Beberapa menteri Kabinet turut serta dalam lawatan itu antaranya Menteri Pertahanan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Unggah Embas dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment